Saturday, 23 February 2013

USIM JOHAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (PABM) PIALA PERDANA MENTERI 2013


22 Febuari 2013, Putrajaya: Akhirnya penantian Kelab Debat USIM dan USIM amnya selama ini untuk melihat wakil mereka menggondol kejuaraan di pentas Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu telah kesampaian apabila Mohd Ikhwan Mohd Rosseli telah diumumkan sebagai pemenang Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 bagi Kategori Nusantara.

Pada malam kemuncak tersebut, keluarga beliau beserta warga USIM termasuk Naib Canselor USIM Prof. Dato' Dr. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dato' Dr. Asin Dolah beserta Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Prof. Dato' Dr. Musa Ahmad telah turun memberikan sokongan padu untuk beliau. Beliau yang sebelum ini pernah menyertai pemilihan PABM pada tahun 2011 dan 2012, namun terpaksa akur apabila nasib tidak menyebelahinya apabila terkandas di peringkat separuh akhir.

Beliau yang ditemui menyatakan rasa penuh syukur atas kemenangan pada kali ini setelah percubaan selama tiga tahun sebelum ini. Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih tak terhingga buat semua yang hadir memberikan sokongan penuh kepada beliau.

Selaku juara, Saudara Ikhwan Mohd Rosseli membawa pulang wang tunai RM21,700 (USD7,000) beserta piala iringan mengalahkan peserta dari Indonesia, Mohd Zulfadli Razali yang membawa pulang wang tunai RM15,500 (USD5,000) beserta piala iringan dan peserta dari Brunei, Adi Ismat bin Lamat yang membawa pulang wang tunai RM9,300 (USD3,000) beserta piala iringan.

Bagi Kategori Antarabagsa, Johan menjadi milik Panama apabila pesertanya, Derrick Fernando Jaramillo ataupun Mat Derih berjaya memikat hati para juri bagi mengalahkan pesaing terdekatnya, Zhang Yaqi dari China yang berada di tempat kedua dan Abdel Rahman Ibrahim Sulieman dari Jordan yang berada di tempat ketiga.

Menurut Saudara Syamsul Amri Ismail, jurulatih Debat Bahasa Melayu USIM merangkap Presiden Alumni Debat Malaysia (ADAM), pertandingan pada kali ini telah memperlihatkan mutu peningkatan penguasaan bahasa bagi semua peserta yang bertanding berbanding tahun sebelum ini dan mengharapkan agar pertandingan ini dapat diteruskan lagi bagi memartabatkan bahasa melayu ke seluruh dunia.
Selain itu, menurut Saudara Iqmal Hisham Kamaruddin yang juga merupakan Pengerusi Kelab Debat USIM, kejayaan beliau pada kali ini telah membuka mata pihak luar terhadap kemampuan pendebat-pendebat USIM serta berharap agar pelapis-pelapis pendebat dapat meneruskan legasi kegemilangan ini.

Berikut merupakan gambar-gambar yang sempat dirakamkan pada malam tersebut:

Saudara Mohd Ikhwan Mohd Rosseli bersama Derrick Fernando Jaramillo

Penonton yang sedang menyaksikan pertandingan

Saudara Mohd Ikhwan Mohd Rosseli bersama peserta dari German

Peserta-peserta akhir PABM 2013

Peserta-peserta PABM 2013

USIM bangga dengan kejayaan ini

Barisan pemenang kategori Nusantara

Barisan pemenang kategori Antarabangsa

Barisan pemenang-pemenang

Kegembiraan jelas terpancar di muka Saudara Mohd Ikhwan Mohd Rosseli

Johan Kategori Nusantara dan Johan Kategori Antarabangsa

Sebahagian daripada penyokong USIM yang sedang ditemu ramah oleh USIM Online

Saudara Mohd Ikhwan Mohd Rosseli bersama jurulatih, Saudara Syamsul Amri Ismail

Penyokong-penyokong tegar USIM

MEMBINA PEWARIS LEGASI GEMILANG

MUHAMMAD IQMAL HISHAM BIN KAMARUDDIN
Pengerusi
Kelab Debat USIM

Monday, 4 February 2013

USIM MENJEJAKKAN KAKI DI PENTAS AKHIR BUAT KALI PERTAMA BAGI KEJOHANAN DEBAT BAHASA ARAB PERINGKAT INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ASEAN KALI KE-6 2013



4 FEBRUARI 2013, USIM: Penantian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama enam tahun untuk menjejakkan di pentas akhir Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian Tinggi ASEAN telah tercapai apabila mereka buat pertama kalinya telah menjejakkan kaki di pentas akhir Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian Tinggi ASEAN Kali Ke-6 2013 baru-baru ini. USIM yang diwakili oleh pasukan Debat Bahasa Arab (USIM B) telah bertindak selaku pembangkang manakala kerajaan pula diwakili oleh Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Indonesia. Walaubagaimanapun, kemenangan telah berpihak kepada pihak kerajaan yang juga merupakan juara bertahan pada tahun lepas.

Bagi pertandingan akhir ini, johan telah membawa pulang sebanyak RM5,000 bersama-sama dengan piala pusingan manakala naib johan pula membawa pulang sebanyak RM3,000. Pendebat terbaik pada pusingan akhir telah disandang oleh saudara Ayatullah Husaini dari pasukan Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah yang membawa pulang piala iringan dan Tab MyIman sumbangan MyIman Technologies Sdn. Bhd.

Kejohanan debat kali ini telah berlangsung di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan pentas akhir di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP 3) pada 30 januari hingga 4 febuari 2013 dan merupakan salah satu dari acara IHTIFAL Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2013. Acara-acara lain yang telah dipertandingkan sepanjang IHTIFAL ini adalah acara nasyid, tilawah al-quran, dan konvensyen pendakwah muda. Program IHTIFAL ini merupakan kerjasama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Taqwa.

Kejohanan debat ini telah disertai oleh 13 pasukan dari Malaysia, 3 pasukan dari Indonesia, 1 pasukan dari Brunei dan 1 pasukan swing. Malaysia diwakili oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Indonesia pula telah diwakili oleh Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Universiti Islam Bandung (UNISBA) dan Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyyah (STIT) Diniyyah Puteri Rahmah El Yunusiyah manakala Brunei pula telah diwakili oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Dengan bertemakan “Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah”, kejohanan debat ini telah berjaya mewujudkan satu hubungan yang baik antara universiti-universiti antara Malaysia dengan universiti-universiti negara ASEAN yang lain seperti Indonesia dan Brunei. Selain itu, kejohanan debat ini juga sedikit sebanyak memberi peluang kepada para mahasiswa untuk meningkatkan kualiti penguasaan bahasa arab di peringkat antarabangsa dan telah disambut baik dari dalam mahupun luar negara. Ini jelas menunjukkan, bahasa arab juga mampu untuk dikuasai tanpa mengira bangsa dan negara. Diharapkan kejohanan debat seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penyertaan dari negara ASEAN yang lain seperti Singapura, Filipina, Thailand, Laos, Kemboja dan Myammar. Diharapkan juga dengan adanya kejohanan seperti ini, bahasa arab akan terus menjadi bahasa utama di persada dunia.

Berikut merupakan sebahagian gambar-gambar sepanjang kejohanan kali ini yang sempat dirakamkan:

Pasukan Debat Bahasa Arab USIM, kalian kebanggan kami

Keceriaan terpancar di muka pendebat-pendebat USIM

Pasukan Debat Bahasa Arab USIM bergambar selepas kejohanan

Salah satu scene yang sempat dirakam di luar dewan pentas akhir

Pasukan debat Bahasa Arab USIM selaku pembangkang di pentas akhir

Pasukan Syarif Hidayatullah selaku kerajaan di pentas akhir

Pasukan Debat Bahasa Arab USIM sedang berbincang ketika waktu kuarantin

Pasukan dari KUPU SB, Brunei

Sebahagian runner yang menjadi duta kecil USIM pada kejohanan kali ini

Sebahagian ajk-ajk kejohanan pada kali ini

Ketika waktu perdebatan

Ajk-ajk bergambar selepas kejohanan

Saudara Aizat Shamsudin, pengarah kejohanan kali ini

Ajk-ajk sedang menjalankan tugas

Peserta=peserta ketika waktu taklimat

Menyambut ketibaan peserta dari Indonesia dan Brunei

Ketika waktu pendaftaran

MEMBINA PEWARIS LEGASI GEMILANG

Disediakan oleh: 

NURLIYANA BINTI MOHAMED RADZI
Setiausaha Kejohanan Debat Bahasa Arab
Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Asean
Kali Ke-6 2013