Tuesday, 10 July 2012

PERTANDINGAN DEBAT BAHASA ARAB ANTARA SEKOLAH_SEKOLAH MENENGAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN DAN JEMPUTAN NUSANTARA 2012


10 JULAI 2012, USIM: Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Dan Jemputan Nusantara 2012 telah selamat disempurnakan dengan jayanya buat kali kelima pada 6-10 Julai 2012 di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP 3), Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan. Pertandingan ini dianjurkan bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) USIM, Kelab Debat USIM dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kali ini, penganjur telah membuka penyertaan baru iaitu kategori nusantara disamping meneruskan kategori kebangsaan yang sedia ada. SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Negeri Sembilan muncul johan manakala SMKA Al-Irshad, Pulau Pinang muncul naib johan bagi kategori kebangsaan. Bagi kategori nusantara pula, Madrasah Al-Juneid, Singapura telah muncul sebagai johan sulung manakala Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Malaysia muncul sebagai naib johan.

KATEGORI KEBANGSAAN                  
TARIKH
AKTIVITI
TEMPAT
6 Julai
Pendaftaran Peserta & Guru Pengiring
Kolej Kediaman Sutera Indah, USIM
Taklimat Peserta
DKU FPQS, USIM
Taklimat Hakim           
Dewan Hotel Alson Klana, Nilai
7 Julai
Pusingan 1, 2 & 3
FPQS, USIM
8 Julai
Pusingan 4, 5 & 6
FPQS, USIM
9 Julai
Pusingan 16 Terbaik, Suku Akhir & Separuh Akhir
FPQS, USIM
10 Julai           
Pertandingan Akhir & Perasmian Penutup
DKP 3, USIM

KATEGORI NUSANTARA         
TARIKH
AKTIVITI
TEMPAT
7 Julai
Pendaftaran Peserta & Guru Pengiring
Kolej Kediaman Sutera Indah, USIM
Taklimat Peserta
DKF 2.1 FPQS, USIM
8 Julai
Pusingan 1, 2 & 3
FKP, USIM
9 Julai
Separuh Akhir & Pertandingan Akhir
FKP, USIM
10 Julai           
Perasmian Penutup
DKP 3, USIM

            Secara umumnya, pertandingan telah berjalan dengan lancar. Walaupun terdapat beberapa masalah seperti masalah ketiadaan air di tempat penginapan serta masalah makanan basi, namun ianya dapat diatasi. Mengenai masalah air, ianya disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan kebocoran paip oleh pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) manakala masalah makanan basi berpunca dari caterer makanan yang gagal menyediakan makanan dalam keadaan yang ditetapkan. Masalah air diatasi dengan menghubungi pihak SAINS bagi meminta penjelasan dan meminta agar menyelesaikan kerja-kerja membaik pulih dengan segera manakala masalah makanan basi diatasi dengan menukar caterer yang baru yang dapat menyediakan makanan dalam keadaan yang baik. Selain itu, terdapat beberapa masalah lain seperti kes demam, cirit-birit serta kehilangan barang namun semua itu juga dapat diatasi dengan bantuan Unit Aduan, Kebajikan & Keselamatan pertandingan.

Pertandingan kali ini juga disaksikan oleh penonton-penonton yang datang dari sekolah-sekolah sekitar Nilai seperti SMK Bandar Baru Salak Tinggi, SMK Bandar Baru Nilai dan SMKA Tun Mamat. Selain itu, delegasi daripada Thailand juga telah hadir bagi menyaksikan sendiri pertandingan yang sedang berlangsung pada ketika itu.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Exco Pelajaran Negeri Sembilan, Dato Shamsulkahar Deli. Ianya juga dihadiri oleh Yang Berbahagia Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Tuan Haji Abdullah Md Din, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni USIM, Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Prof. Dr. Musa Ahmad dan dif-dif kehormat dari BPI dan juga USIM yang lain.

Pertandingan ini menyaksikan kemeriahan suasana Bahasa Arab dan iklim Islami dalam kalangan warga pertandingan. Perkara ini dapat dibuktikan apabila parlimen bersidang dalam bahasa Arab. Segala taklimat dan pengumuman daripada pensyarah dan urus setia pertandingan juga disampaikan dalam bahasa Arab. Di samping itu, perbualan antara pendebat, guru pengiring dan hakim majoritinya dalam bahasa Arab. Sajian hiburan dalam bahasa Arab juga disediakan oleh pihak penganjur pertandingan. Pertandingan ini juga telah mewujudkan serta mengeratkan ukhuwah antara pihak sekolah dengan BPI dan USIM.

Selain itu, pertandingan ini membolehkan para peserta dan guru menimba ilmu dan pengalaman berdasarkan komen dan kritikan yang diberikan kepada para pendebat selepas setiap sesi perdebatan. Para peserta berdebat sambil belajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab. Pengalaman yang didapati dari pertandingan ini juga dapat diaplikasikan di sekolah melalui berkomunikasi dalam bahasa Arab bagi pertandingan-pertandingan lain seperti Kalimatus Sobah, Hiwar dan Kuiz Bahasa Arab dalam Majlis Ihtifal Institusi Pendidikan Agama (IPA) di pelbagai peringkat.

Rata-rata pendebat melahirkan rasa syukur kerana pertandingan ini merupakan salah satu daripada saluran untuk mewujudkan ukhuwah baru dan melalui pertandingan ini, para pendebat dilihat lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Arab dalam kehidupan seharian mereka.

Berikut merupakan sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakan sepanjang pertandingan berlangsung:

Sebahagian dari runners yang bertugas pada pertanidngan kali ini

Sesi pendaftaran

Peserta berasak-asak ke bilik sidang

Malam taklimat peserta

SMK Mutiara, Labuan

Juara Kebangsaan, SHAMS

Suasana ketika pertandingan akhir peringkat nusantara

Juara Nusantara, Al-Junied dari Singapura

Ajk-ajk bergambar selepas pertandingan

Sebahagian hakim-hakim yang mengadili pertandingan kali ini

Pengarah dan timbalan pengarah

Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang

Penonton yang menghadiri pertandingan akhir peringkat nusantara

MEMBINA PEWARIS LEGASI GEMILANG

Disediakan oleh:

MUHAMMAD IQMAL HISHAM BIN KAMARUDDIN
Pengarah
Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Menengah
Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Nusantara 2012