
22 JUN 2011, UBD BRUNEI: Buat pertama
kalinya Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Pertandingan Bahas
Pendidikan Islam Peringkat ASEAN yang berlangsung 20 Jun – 22 Jun 2011 yang
bertempat di kampus induk UBD, Brunei Darussalam. Pertandingan ini dianjurkan
bersempena sambutan jubli perak, ulangtahun UBD ke-25 tahun. Pertandinagn ini
dibuka kepada semua Universiti-universiti ASEAN.
Pertandingan ini telah menemukan Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM) melawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di
pusingan akhir dengan usul "Umat Islam Terpinggir Kerana Lemah Dalam Sains
dan Teknologi". Pusingan akhir ini juga dihadiri oleh Menteri Pendidikan
Negara Brunei Darussalam, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato’ Seri Setia (Dr.)
Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bersama beberapa rektor dan naib canselor
universiti-universiti seluruh Brunei.
USIM yang bertindak sebagai pembangkang dibarisi oleh Saudari Ummu
Umairah bt Azahari, Saudara Mohd Ikhwan Mohd Rosseli, Saudara Muhamad Shah Izad
Saleh dan Saudara Muhammad Irhammudin Hj. Ibrahim telah berjaya merangkul
kejuaraan dan membawa pulang piala iringan, piala rebutan dan wang tunai Brunei
Dollar 1500. Pendebat terbaik pula disandang oleh Syazwan Shuhaimi, dari UIAM.
USIM telah mendapat tunjuk
ajar daripada seorang lagenda pendebat Bahasa Melayu, En. Syamsul Amri Bin
Ismail yang telah membawa USIM ke beberapa pentas akhir pertandingan debat yang
lain seperti Pertandingan Debat diRaja (Royal Debate), Debat Alam Sekitar,
Debat Integriti, Debat Kefahaman Islam IKIM dan Debat Terbuka Majlis
Pembandaran Sepang. Menurut beliau, “kejayaan ini tidak hanya dirai oleh USIM
semata-mata, namun harus juga dikongsi oleh bekas pendebat USIM dan seluruh
rakyat Malaysia”. Bagi Mohd Ikhwan pula, beliau berpendapat jangan terlalu
cepat berpuas hati lantas meletakkan di tempat yang selesa, sebaliknya perlu
bermuhasabah untuk perbaiki diri dan pasukan.
Kemenangan di Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat ASEAN
ini merupakan satu sejarah apabila USIM telah mengharumkan nama Malaysia di
peringkat ASEAN. Sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang, USIM telah
dijemput untuk menghadiri satu sesi khas iaitu temuramah di Radio Televisyen
Brunei (RTB) yang dilakukan secara langsung. USIM turut mendapat liputan meluas
daripada beberapa surat khabar tempatan Negara Brunei. Tidak cukup dengan itu,
USIM turut menerima beberapa jemputan makan pagi dan tengahari bersama beberapa
VIP yang lain namun semua jemputan itu terpaksa ditolak atas sebab kekangan
masa. Sepanjang berada di Brunei, USIM turut dibantu oleh En. Rashid Rahman
Hassan, naib johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana
Menteri 2011, yang menjadi pengiring pasukan USIM.
Pasukan Debat USIM telah
menjalani latihan secara berkala sejak 4 bulan yang lalu, tetapi latihan secara
serius telah dijalankan selama 2 minggu bagi mencari fakta, maklumat dan
menguasai isu semasa. Menurut Ummu Umairah, “untuk berjaya dalam debat, bukan
sekadar kepetahan bersuara yang diperlukan namun kebijaksanaan dan penguasaan
sesuatu maklumat itu yang penting”. Tidak hairanlah jika Pasukan Debat Bahasa
Melayu USIM bermalam di bilik laihan debat. Namun, itu menjadi perkara biasa
bagi Pasukan Debat Bahasa Melayu jika ingin mencapai kejayaan. Pasukan Debat
Bahasa Melayu berhasrat untuk terus mengaharumkan nama universiti. Selamat maju
jaya kepada Pasukan Debat Bahasa Melayu USIM ini yang tidak pernah lekang
dengan senyuman.
Berikut merupakan sebahagian
gambar-gambar yang sempat dirakamkan:

Pasukan Debat Bahasa Melayu USIM, kalian kebanggan kami

Jurulatih En. Syamsul Amri bersama En. Rashid, pengiring USIM

Situasi perdebatan

Bekas pendebat UIAM, Datin Norjuma Habib Mohd turut hadir

Bergambar kenangan bersama menteri pelajaran Negara Brunei, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato’ Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan VVIP yang lain
“MEMBINA PEWARIS LEGASI
GEMILANG”
MUHAMAD SHAH IZAD SALEH
Timbalan Pengerusi I
Kelab Debat USIM